KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir perlu dilakukan dengan telus dan teliti meliputi setiap aspek serta tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan, ia adalah suatu perintah Allah untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/08/11/jsj-bukit-aman-ambil-alih-siasatan-kes-zara-qairina/
Dalam pada itu, Istana Seri Kinabalu juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.
“Orang ramai terutamanya pengguna media sosial tidak wajar membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, Musa serta isteri, Toh Puan Faridah Tussin turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara Qairina.
Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk Allahyarham Zara akan diadakan pada Khamis, 14 Ogos ini selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. -MalaysiaGazette















