KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Perwakilan Diplomatik di Turkiye selamat susulan gempa bumi yang melanda Alakir-Sindirgi, wilayah Balikesir pada 7.53 malam waktu tempatan Ahad.
Menurut Wisma Putra, rakyat Malaysia yang berada di bandar berdekatan lokasi gempa seperti Izmir dan Manisa juga disahkan selamat.
Tambahnya, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul terus berhubung rapat dengan komuniti Malaysia di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.
“Kementerian Luar, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul sedang memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda Alakir-Sindirgi pada Ahad,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di Turkiye agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi.
“Mereka yang belum mendaftar dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia digalakkan berbuat demikian bagi memudahkan pemberian bantuan sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu.
Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara di talian +90 312 446 3547 / +90 312 446 3548 atau telefon bimbit +90 507 812 8406, e-mel [email protected], atau Konsulat Jeneral di Istanbul di talian +90 212 989 1001, e-mel [email protected].
Terdahulu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan lebih 70 gempa susulan berukuran antara 3.5 hingga 4.6 pada skala Richter telah direkodkan selepas gempa bumi pertama sebesar 6.1 skala Richter berlaku jam 7.53 malam Ahad.
Meskipun Balikesir terletak kira-kira 349 kilometer dari Istanbul, gegaran turut dirasai di beberapa bandar utama termasuk Istanbul, Bursa dan Izmir.
Perkembangan terkini mengesahkan gempa bumi itu mengorbankan sekurang-kurangnya satu nyawa dan menyebabkan lebih sedozen bangunan runtuh.
Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya berkata seorang wanita berusia 81 tahun meninggal dunia selepas diselamatkan dari runtuhan di bandar Sindirgi, lapor media antarabangsa. -MalaysiaGazette














