Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan berkenaan cadangan mengambil jururawat Indonesia bekerja di negara ini perlu mengambil kira kepentingan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia juga perlu mengambil kira kepentingan kebajikan warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negara.

Terdahulu, katanya, beliau mengalu-alukan cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk menjalankan kajian terperinci berhubung cadangan pengambilan jururawat dari Indonesia tersebut.

Malah, jelasnya, beliau juga telah mengarahkan supaya kerjasama penuh diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kajian cadangan tersebut.

Bagaimanapun, tambah beliau, buat masa ini, KKM akan meneruskan usaha mengatasi masalah kekurangan jururawat melalui pendekatan pelbagai kaedah seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

“Hakikatnya, tiada penyelesaian segera untuk mengatasi keadaan sukar yang sebahagiannya berpunca daripada keputusan kita sendiri (sebagai contoh moratorium terhadap sekolah kejururawatan swasta yang telah ditamatkan pada 2024 serta tiada pengambilan baharu di ILKKM semasa pandemik selama dua tahun),” katanya menerusi laman sosial X beliau semalam.

Terdahulu, media melaporkan cadangan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru supaya satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia diadakan bagi membolehkan jururawat dari negara itu berkhidmat di negara ini, sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto berkata, langkah itu merupakan situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.

Bagaimanapun, dalam reaksi awal terhadap cadangan itu, Dzulkefly menegaskan, tiada sebarang rundingan rasmi atau permohonan diterima berhubung cadangan pengambilan jururawat dari Indonesia untuk berkhidmat di negara ini.

Malah, jelas beliau, pihaknya juga tidak pernah menerima maklumat atau cadangan rasmi daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia berkaitan perkara tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast