BANGI – Selepas lebih sedekad membawa misi kemanusiaan untuk pelarian Syria, Cinta Syria Malaysia (CSM) kini beroperasi dengan identiti baharu sebagai Cinta Salam Malaysia (CSM), menandakan peluasan bantuan kepada pelarian dan komuniti rentan di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Ahmad Musa Al-Nuwayri, berkata penjenamaan ini bukan sekadar menukar nama tetapi mencerminkan hala tuju lebih inklusif, strategik dan berimpak jangka panjang.
“Salam melambangkan keamanan dalam kekacauan, peradaban dalam kehancuran, serta penghubung kasih antara penderma dan penerima,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah, penasihat strategik, rakan NGO dan ikon kemanusiaan.
Melalui identiti baharu ini, Cinta Salam Malaysia memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu visi merentas sempadan, misi menyantuni lebih ramai pelarian serta pelaksanaan program berorientasikan impak jangka panjang.
Bantuan yang diberikan kini merangkumi pelarian dari pelbagai negara konflik serta komuniti miskin tempatan melalui pendekatan berasaskan data, kerjasama strategik dan penekanan terhadap keberkesanan yang mampan.
Enam nilai strategik turut digariskan sebagai asas tadbir urus dan kejayaan program iaitu Ketelusan, Kecemerlangan, Kerjasama Strategik, Keterangkuman, Gerbang Maklumat Dipercayai dan Pemerkasaan Sosial & Ekonomi.
Bagi memperkukuh peranan di peringkat global, Cinta Salam Malaysia turut mengumumkan pelantikan Board of Advisor (BoA) dan Strategic Global Reference Expert Panel (S-Panel) yang dianggotai pakar dalam undang-undang antarabangsa, geopolitik, tadbir urus, komunikasi strategik dan pemasaran.
Ahmad Musa turut memaklumkan cadangan membuka cawangan rasmi di Syria bagi mengurus bantuan secara terus, mempercepatkan tindak balas kecemasan serta membangunkan kapasiti tenaga kerja tempatan.
“Selepas keamanan tercapai di Syria, CSM merancang membina 30 hingga 35 rumah sebagai langkah awal pemulihan semula negara tersebut. Selain itu, Cinta Salam Malaysia turut menjadi sebahagian daripada Sumud Nusantara, sebuah inisiatif penaung Perdana Menteri Malaysia yang menghimpunkan NGO utama termasuk Cinta Gaza Malaysia,” katanya.
Program itu membabitkan penyertaan 44 negara dengan misi konvoi laut besar-besaran bermula di Sepanyol pada 31 Ogos diikuti Tunisia pada 4 September.
Ahmad Musa menegaskan NGO memainkan peranan penting membantu kerajaan menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya di kawasan konflik dan bencana.
“Kerajaan tidak mampu melaksanakan semua misi sendirian. Gabungan kuasa rakyat dan kerajaan adalah kunci keberhasilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















