KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 29,719 tan metrik pada Jun 2025, menurun 17.3 peratus berbanding Mei 2025 (35,939tan metrik).
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, pengeluaran getah asli meningkat 5.9 peratus pada Jun 2025 (25,679 tan metrik) berbanding 24,256 tan metrik bulan sebelumnya.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 14.1peratus (Jun 2024: 29,881 tan metrik).
Jumlah stok getah asli pada Jun 2025 menurun 11.4 peratus kepada 164,189 tan metrik berbanding 185,324tan metrik pada Mei2025.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 85.2 peratus diikuti kilang pengguna getah (14.7%) dan estet getah (0.1%).
Eksport getah asli Malaysia berjumlah 29,719tan metrik pada Jun 2025, menurun 17.3peratus berbanding Mei 2025 (35,939tan metrik).
China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli menyumbang 33.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Jun 2025 diikuti Jerman (18.1%), Emiriah Arab Bersatu (9.6%), Amerika Syarikat (7.3%) dan India (3.8%).
Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.2 billion pada Jun2025, menurun 1.7 peratus berbanding Mei 2025 (RM1.3billion).
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 9.0peratus (Jun2025: 558.66sen sekilogram; Mei2025: 613.80sen sekilogram) manakala Sekerap menurun sebanyak 7.0 peratus (Jun 2025: 564.13sen sekilogram; Mei2025: 606.67sen sekilogram).
Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menunjukkan penurunan antara 8.9 peratus dan 10.7 peratus.
The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 5.4 peratus daripada AS$1.70/kg kepada AS$1.61/kgdan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 1.5 peritus daripada AS$2.19/kg kepada AS$2.16/kg.
Prestasi suku kedua 2025 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 28.6 peratus kepada 67,943 tan metrik berbanding 95,101 tan metrik pada suku pertama 2025.
Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku kedua 2025 pula mencatatkan penurunan 11.5 peratus berbanding suku kedua 2024 (76,814 tan metrik).
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Jun 2025, Pasaran Getah Kuala Lumpur dibuka bercampur-campur sepanjang Jun 2025 dengan harga SMR 20 meningkat sedikit disokong oleh aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau.
Is susulan peningkatan kebimbangan terhadap bekalan bahan mentah getah asli yang semakin berkurangan berikutan keadaan cuaca buruk di negara pengeluar utama Thailand.
Sentimen pasaran meningkat oleh data ekonomi China yang positif ditambah pula dengan unjuran optimis oleh Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) mengenai permintaan getah asli (NR) dan kenaikan harga minyak mentah. – MalaysiaGazette
















