Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal (tengah) menunjukkan soladiriti bersama AMK negeri berhubung kes kematian Zara Qairina.

 

GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan mempolitikkan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

AMK Pulau Pinang dalam satu kenyataan menegaskan, nyawa manusia bukan bahan dagangan politik selain menyifatkan sebarang usaha meraih keuntungan politik daripada tragedi tersebut sebagai tindakan tidak bermoral.

“Kepercayaan penuh wajar diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, menyeluruh dan adil sehingga keadilan dapat ditegakkan.

“Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan tiada sesiapa akan dilindungi daripada tindakan sekiranya terbukti bersalah, tanpa mengira pangkat, darjat atau kedudukan.

“Justeru kita menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan mempolitikkan tragedi tersebut kerana nyawa manusia bukan bahan dagangan politik,” katanya hari ini.

Dalam kenyataan sama, AMK turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa, selain menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan kes berkenaan.

“Kami (AMK Pulau Pinang) berdiri teguh bersama keluarga mangsa serta rakyat Malaysia yang mendambakan keadilan, selain mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman,” katanya.

Media semalam melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menghantar satu pasukan siasatan khas ke Kontinjen Sabah, bagi mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataannya berkata, sembilan pegawai dan anggota JSJ sudah dihantar ke Sabah.

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast