KENYATAAN akhbar bersama peguam Zara Qairina Mahathir.

KUALA LUMPUR – Peguam kepada keluarga Zara Qairina Mahathir menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan laporan bedah siasat ke atas pelajar berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama, perguam berkenaan, Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, tindakan itu bagi mengelakkan berlaku percanggahan di antara laporan lisan bedah siasat yang dimaklumkan kepada mereka dan ibu mangsa selepas tamatnya bedah siasat dengan laporan rasmi bedah siasat yang akan dikeluarkan oleh pihak hospital.

Bagaimanapun, katanya, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, terdapat kecederaan yang ditemui pada tubuh Zara Qairina semasa bedah siasat.

Sementara itu, ujarnya, mereka berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah mengarahkan polis untuk membuat permohonan menggali semula kubur Zara Qairina seterusnya membuat bedah siasat terhadap jenazahnya kelmarin.

Selain itu, mereka turut berterima kasih kepada polis yang telah mengawal rapi proses penggalian dan bedah siasat tersebut.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua individu termasuk wartawan-wartawan media yang berada di tanah perkuburan dan persekitaran hospital Queen Elizabeth 1 dari pagi hingga ke malam bagi menyaksikan proses penggalian kubur, pengkebumian jenazah dan bedah siasat.

“Sokongan anda semua amat kami hargai,” kataya dalam kenyataan malam tadi.

Kelmarin, proses bedah siasat Zara Qairina selesai selepas kira-kira lapan jam prosedur itu dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.

Proses itu yang bermula pukul 11 pagi dan berakhir pukul 8 malam turut disaksikan peguam, Shahlan Jufri atas permintaan keluarga Zara Qairina.

Pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital keesokan harinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast