Kemunculan beribu-ribu kerang di satu kawasan berpasir di Pulau Ketam di Selangor menimbulkan kebimbangan penduduk dengan ada yang melihatnya sebagai petanda awal bencana alam. - foto hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan daripada memakan kerang yang dikutip dari kawasan perairan yang terjejas kerana ia boleh menyebabkan keracunan dalam tempoh hanya 30 minit.

Menurut Profesor Dr. Lim Po Teen dari Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Universiti Malaya, simptom awal keracunan kerang lumpuh (paralytic shellfish poisoning, PSP) termasuk kebas pada bibir dan lidah.

Dalam kes yang teruk, mangsa boleh mengalami kelumpuhan dan kegagalan pernafasan.

“Sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda keracunan perlu mendapatkan rawatan perubatan segera,” tegas beliau.

Toksin yang bertanggungjawab, dikenali secara kolektif sebagai Saxitoxin, merupakan neurotoksin yang sangat kuat dan bertindak menghalang saluran natrium. “Terdapat lebih daripada 50 jenis saxitoksin, dan hanya 2mg sudah cukup untuk menyebabkan kematian pada orang dewasa,” jelas Prof. Lim.

Amaran ini dikeluarkan selepas Jabatan Perikanan Negeri Sembilan melaporkan tahap biotoksin yang melebihi paras selamat minggu lalu, yang menyebabkan nelayan di Port Dickson menghentikan aktiviti mengutip kerang termasuk kupang.

Fenomena letusan alga berbahaya (harmful algal blooms, HABs) berlaku apabila spesies fitoplankton tertentu membiak dengan cepat dan berlebihan di kawasan perairan pantai.

Menurut beliau, apabila ia berlaku berhampiran kawasan akuakultur, toksin daripada mikroalga boleh terkumpul dalam kerang penapis seperti tiram, kerang dan kupang.

Apabila paras toksin melebihi had selamat, kerang tersebut tidak lagi selamat untuk dimakan.

Dr. Po Teen menjelaskan, kes PSP bukanlah perkara baharu di Malaysia, dengan kejadian pertama direkodkan pada tahun 1970-an.

“Kejadian seumpama ini berlaku setiap tahun di banyak negara lain. Prof. Lim menegaskan bahawa pemantauan plankton dan kerang secara berkala oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) amat penting untuk mengesan letusan awal, mengelakkan kerang tercemar daripada memasuki pasaran, dan melindungi kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, apabila letusan alga berakhir, kerang boleh menyingkirkan toksin secara semula jadi, tetapi proses ini boleh mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan.

Di peringkat global, katanya, kejadian letusan alga berbahaya semakin meningkat akibat pemanasan lautan, perubahan iklim dan eutrofikasi pesisir pantai yang disebabkan oleh pelepasan nutrien seperti nitrogen dan fosforus.

Pasukan penyelidikan Dr Po Tee yang berpusat di Stesen Penyelidikan Marin Bachok, Kelantan, telah mengkaji fenomena letusan alga berbahaya selama lebih 25 tahun, memberi tumpuan kepada spesies yang menyebabkan keracunan manusia dan kematian besar-besaran ikan.

Sumbangan beliau dalam bidang ini telah melayakkan beliau dipilih sebagai Felo Akademi Sains Malaysia tahun ini beliau kini merupakan Naib Presiden Persatuan Antarabangsa bagi Kajian Alga Berbahaya (ISSHA.org). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast