Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Zambry Abd Kadir ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 OGOS 2025.

 

 

KUALA LUMPUR – Gesaan ibu kepada Pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang mahu bedah siasat kedua dijalankan kepada anaknya bagi mengetahui punca sebenar kematian anaknya sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau telah maklumkan perkara ini kepada pihak Peguam Negara susulan laporan yang dikemukakan oleh peguam (ibu mangsa).

“Kes ini sedang berada di peringkat siasatan,” katanya dalam Dewan Rakyat Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Ibu pelatih itu menyuarakan hasrat supaya kematian anaknya disiasat secara terperinci kepada Zambry yang melawatnya semalam.

“Apabila dikatakan Allahyarham  mati secara mengejut, keluarganya khususnya ibu beliau sendiri tidak berpuas hati dengan laporan itu (sehubungan itu) beliau melantik peguam untuk mengendalikan kes ini meminta supaya siasatan lanjut dilakukan,” ujarnya.

Zambry menegaskan, KPT tidak akan berkompromi dan tidak akan melindungi pelaku buli bahkan sentiasa bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta telus dan professional bagi sebarang kes buli yang dilaporkan di bawah universiti seliaannya.

Kementerian Pertahanan juga sudah mewujudkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membuat kajian dan membuat laporan lengkap mengenai kematian mahasiswa tersebut.

Jelasnya, KPT komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara dengan meneliti kaedah dan amalan terbaik serta mengkaji semula dasar sedia ada untuk menambah baik prosedur serta mekanisme bagi menangani isu disiplin pelajar khususnya gejala buli,

KPT telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi gejala ini serta mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di semua universiti awam secara menyeluruh.

“(Ia) Termasuklah penerapan budaya ‘zero tolerance’ terhadap buli; pelaporan terhadap; penambahbaikan sistem keselamatan kampus melalui pemasangan sistem CCTV (kamera litar tertutup) meluas; pelaksanaan program kesedaran dan pendidikan (berkenaan) buli jugapenekanan sasiah diri juga etika latihan kepimpinan,” ujarnya.

Semalam dilaporkan, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, permohonannya telah diserahnya melalui KPT bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.

Ummu mendakwa terdapat kecederaan seperti lebam di mata, pendarahan luar biasa melalui hidung dan mata, luka di mulut serta pendarahan teruk di leher yang ditutup dengan kapas tebal.

Beliau juga mendakwa tidak dibenarkan membuka selimut yang menutupi jasad anaknya dan dilarang mengambil gambar.

Malah, adik dia yang bersamanya ketika itu juga tidak dibenarkan berbuat demikian.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast