KUALA LUMPUR — Planet QEOS Sdn Bhd (Planet QEOS) memeterai Perjanjian Induk (HOA) bernilai RM2.32 bilion bersama lima rakan strategik untuk melaksanakan Program Tenaga Baram DeepTech, yang akan menjadi pemangkin kepada pembinaan ‘firm’ loji solar pertama di Malaysia di tanah tinggi Baram, utara Sarawak.
Lima rakan strategik terbabit ialah EFS Group, ES Sunlogy, Founder Consortium, China Construction Sixth Engineering Bureau Corporation (CSCEC) dan Hopewind.
Kemudahan ini bakal menjadi loji tenaga boleh diperbaharui pertama di negara yang mampu membekalkan elektrik berterusan sepanjang masa, setanding stesen janakuasa gas dan hidro konvensional, sekali gus menandakan pencapaian besar dalam merealisasikan fasa awal pembinaan projek tersebut.
Pengerusi Eksekutif Planet QEOS, Dino Bidari menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Premier Sarawak dan kecekapan jentera kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Pengurusan Tanah dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) yang berjaya menterjemah visi kepada pelaksanaan.
“Kami membina lebih daripada sekadar sebuah loji janakuasa; kami sedang membina asas kemakmuran yang berkekalan di wilayah HDA,
“Hari ini, dasar bertemu realiti. Kami bukan sahaja membawa megawatt — kami membawa ekonomi luar bandar baharu: pekerjaan berkemahiran, infrastruktur moden, dan tenaga hijau bertaraf pelabur dari tanah tinggi,” kata Dino dalam kenyataan media selepas majlis menandatangani HOA.
Majlis itu diadakan bersempena Hari Libat Urus Awam-Industri MEESty yang turut menyaksikan pelancaran rasmi Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg.
Acara tersebut menghimpunkan pemimpin kerajaan, pemain industri dan wakil komuniti bagi memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga bersih serantau serta merangka pelan mencapai kapasiti penjanaan 10 GW menjelang 2030 dimana sasaran yang akan mengukuhkan peranan negeri itu sebagai “Bateri ASEAN” dan pengeksport utama tenaga hijau di rantau ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala yakin projek berkenaan akan membawa manfaat meluas kepada Kawasan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Baram.
“Program Baram DeepTech menandakan satu bab penting bagi HDA di Baram. Dengan membawa tenaga boleh diperbaharui 24 jam sehari ke Baram, pihak pelaksana projek membuka potensi penuh kawasan pedalaman untuk pertumbuhan mampan menerusi peningkatan hubungan, infrastruktur moden, industri baharu, dan peluang pekerjaan berkemahiran.
“Ini akan menjadi pemangkin pembangunan serentak di kawasan Parlimen Mulu dan seluruh Hulu Baram. Sebagai sebahagian daripada HDA, saya berbangga melihat kawasan kita menjadi tumpuan dalam memacu kepimpinan tenaga hijau Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette
















