Dr. Noraini Ahmad ketika melancarkan Perkhidmatan Kaunter Getah Untuk Rakyat di Sik, semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkukuh agenda reformasi penyampaian perkhidmatan awam menerusi pelancaran Perkhidmatan Kaunter Getah Untuk Rakyat (GeRak), yang membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada pekebun kecil dan komuniti luar bandar.

Program sulung GeRak yang diterajui Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan penglibatan lebih 30 kementerian, agensi pelaksana dan pihak swasta.

Menurut LGM, GeRak diperkenalkan bagi memastikan pekebun kecil getah tidak perlu menempuh perjalanan jauh atau berurusan dengan pelbagai agensi secara berasingan untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat, bantuan dan perkhidmatan berkaitan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata reformasi, penyampaian perkhidmatan bukan sekadar memperbaiki proses di pejabat kerajaan, sebaliknya memastikan kementerian dan agensi hadir di lokasi rakyat.

“Melalui GeRak, kementerian dan agensi pelaksana membawa perkhidmatan terus kepada pekebun kecil dan komuniti luar bandar,” katanya ketika melancarkan program tersebut.

GeRak merupakan antara projek di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) 2026 bagi KPK dan turut diiktiraf sebagai Program Utama di bawah Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) 2026 kementerian.

Pendekatan itu berteraskan konsep Pusat Sehenti (OSC) dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi, khususnya berkaitan sektor getah.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk pameran dan demonstrasi teknologi, kaunter pelbagai agensi, khidmat nasihat serta semakan bantuan dan insentif kerajaan.

LGM berkata, program GeRak dimanfaatkan bagi meningkatkan kesedaran pekebun kecil mengenai Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR), Amalan Pertanian Baik, pematuhan peraturan serta penggunaan teknologi dalam pengurusan kebun.

Amalan pengeluaran yang lebih baik dan mampan penting bagi memastikan getah Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa, selain memenuhi tuntutan pasaran global yang semakin menekankan aspek kelestarian dan kebolehjejakan.

Menurutnya, kejayaan GeRak bergantung kepada kerjasama erat antara kementerian, jabatan, agensi dan rakan strategik, selaras dengan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan negara yang menjadi asas ARPA.

Kerjasama itu penting bagi mengurangkan pertindihan program, merapatkan jurang penyampaian perkhidmatan serta memastikan bantuan dan insentif kerajaan disalurkan secara lebih bersasar.

Keberkesanan GeRak akan terus dinilai berdasarkan maklum balas rakyat dan keperluan kumpulan sasaran bagi memastikan skop perkhidmatan sentiasa relevan serta responsif.

KPK dan LGM turut menyasarkan pelaksanaan GeRak diperluaskan ke lebih banyak kawasan pengeluaran getah di seluruh negara.

“Matlamat akhir kita mudah – kerajaan perlu lebih dekat dengan rakyat, perkhidmatan perlu lebih mudah dicapai dan pekebun kecil perlu diperkasa untuk meningkatkan produktiviti, pendapatan dan kesejahteraan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here