KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menggesa agar prinsip undang-undang common law (undang-undang biasa) Inggeris yang mengehadkan kewajipan polis hanya kepada individu dalam tahanan atau dalam situasi pergantungan khas disemak semula supaya selari dengan Perlembagaan Malaysia.
Beliau berkata, pendekatan sempit itu telah mewujudkan ‘lompang hitam’ akauntabiliti, seperti yang berlaku dalam kes Indira Gandhi apabila polis gagal melaksanakan perintah mahkamah selama sembilan tahun untuk mengesan Riduan dan anak perempuannya yang dilarikan.
Menurutnya, dalam kes itu, peguam kerajaan berhujah tiada ‘duty of care‘ timbul kerana kanak-kanak tersebut tidak berada dalam tahanan, sekali gus mengecilkan makna kewajipan kepada hanya mereka yang berada di bawah kawalan polis.
“Peruntukan seperti Perkara 5(1) yang melindungi hak hidup dan kebebasan diri, Perkara 8(1) yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang, dan Perkara 8(5) yang menghalang penguatkuasaan diskriminasi tanpa asas undang-undang, mewajibkan agensi penguatkuasaan bertindak secara kompeten dalam melindungi nyawa dan kebebasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaid menegaskan, kewajipan polis di Malaysia tidak seharusnya diambil bulat-bulat daripada sistem undang-undang, sebaliknya mesti dibaca bersama jaminan perlembagaan yang mengenakan obligasi positif terhadap pasukan keselamatan itu.
“Piawaian minimum profesional perlu menjadi asas. Kegagalan bertindak, ketidakcekapan serius atau mengingkari perintah mahkamah sepatutnya membawa kepada liabiliti tort dan remedi tort perlembagaan,” katanya lagi.
Jelas Zaid lagi, polis bukan sahaja perlu bertanggungjawab kepada mereka dalam tahanan, tetapi juga kepada masyarakat yang terdedah secara langsung dan boleh dijangka kepada risiko bahaya akibat tindakan atau kelalaian operasi polis yang melanggar kewajipan perlembagaan.
“Jika hakim tidak mengambil langkah menyediakan jaring keselamatan yang lebih luas kepada orang awam, kita akan terus berdepan kes seperti pemandu Grab bisu yang diserang pengawal istana; serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan Faisal Halim yang tidak selesai selain diklasifikasi NFA; atau kes Zara Qairani yang ditemui mati dan dikebumikan tanpa bedah siasat,” tegasnya.
Beliau memberi amaran bahawa jika polis terus dilindungi undang-undang yang tidak sesuai dengan konteks Malaysia dan tidak diwajibkan mengekalkan piawaian minimum kompetensi serta akauntabiliti, lebih ramai rakyat akan memilih meninggalkan negara seperti lebih 100,000 rakyat Malaysia yang telah menjadi warganegara Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – MalaysiaGazette
















