KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir semalam.
AGC dalam kenyataan hari ini memakumkan, arahan supaya inkues itu dijalankan adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Menurutnya, prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.
“Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Dengan pengumuman inkues itu, ia bermakna keempat-empat permohonan pasukan peguam keluarga Zara Qairina kepada AGC yang dibuat pada 5 Ogos lalu kini sudah tertunai.
Tiga permohonan yang ditunaikan sebelum ini adalah kertas siasatan kes itu dikembalikan kepada polis dan siasatan dibuka semula, proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman dan kubur Zara Qairina digali semula supaya satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kelmarin, proses bedah siasat jenazah Zara Qairina selesai dijalankan selama hampir lapan jam di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, selepas kubur Allahyarham digali semula.
Pelajar berusia 13 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth. – MalaysiaGazette
















