KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menegaskan tiada satu pun bandar di ASEAN harus tertinggal dalam arus pembangunan serantau, dengan setiap langkah perlu berteraskan prinsip keterangkuman, kelestarian dan keadilan sosial.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Kor Ming berkata, Malaysia menggabungkan tradisi dan inovasi untuk memacu pembangunan bandar.
“Dari jalan-jalan sibuk Kuala Lumpur ke koridor hijau di Pulau Pinang, kita bertekad memastikan semua bandar mendapat manfaat pembangunan yang seimbang,” katanya.
Beliau demikian di hadapan lebih 300 pemimpin bandar dari seluruh rantau ketika merasmikan Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini petang ini.

Kor Ming juga sempat merakamkan penghargaan kepada United Cities and Local Governments Asia-Pacific (UCLG ASPAC) atas kerjasama menganjurkan AGMF 2025 yang menurutnya membawa agenda bandar daripada sekadar aspirasi kepada tindakan nyata.
Dalam pada itu, ketika menyampaikan ucaptama, Kor Ming mendedahkan sebanyak 56 peratus daripada 680 juta penduduk ASEAN kini tinggal di kawasan bandar, berbanding majoriti luar bandar pada 1967.
Tambahnya, peratusan itu dijangka meningkat kepada 70 peratus menjelang 2050.
Namun, beliau memberi amaran berdasarkan laporan Bank Dunia penyebaran bandar yang tidak terkawal boleh menjejaskan sehingga 2 peratus KDNK ASEAN setiap tahun menjelang 2030 akibat kesesakan dan pencemaran.
“Bandar yang boleh didiami, inklusif, dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar memerlukan polisi yang menyeimbangkan keperluan semua pihak.
“Ini termasuklah infrastruktur untuk perniagaan, keselamatan dan kualiti hidup untuk kelas menengah, perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah serta kelestarian alam untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Kor Ming menegaskan komitmen Malaysia terhadap Pelan Strategik 2026–2029 termasuk menjamin hak kepada perumahan, tanah dan perkhidmatan asas di samping mentransformasikan penempatan setinggan.
“Perumahan yang mencukupi bukan sekadar tempat berteduh tetapi asas pembangunan manusia inklusif, keadilan sosial, dan pengurangan kemiskinan secara mampan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa Datuk Bandar dan Gabenor seluruh ASEAN untuk membina bandar yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi, sistem pengurusan sisa pintar, pengangkutan awam rendah karbon serta menaik taraf penempatan setinggan agar mampu menahan kejutan iklim.
Kor Ming juga memberi contoh pencapaian Malaysia, di mana 83 pihak berkuasa tempatan telah melaksanakan Voluntary Local Review, 43 bandar diiktiraf sebagai Smart City Early Adopter dan 55 bandar melaksanakan kerangka Low Carbon City.
Beliau turut memuji inisiatif negara jiran seperti program ‘Kampung Iklim’ di Indonesia dan pemulihan hutan bakau oleh komuniti di Thailand.
“Bayangkan sebuah ASEAN di mana setiap anak berjalan ke sekolah di bawah langit yang bersih, penempatan setinggan bertukar menjadi kawasan yang makmur dan bandar bersaing bukan dalam pelebaran sempadan, tetapi dalam kelestarian.
“Forum ini tidak sepatutnya dikenang kerana ucapan-ucapan, tetapi kerana tindakan. Pilihannya ada di tangan kita sama ada hanya membincangkan masa depan atau membinanya bersama. Dunia tidak perlukan satu lagi ‘talk-shop’, tetapi pemimpin yang bertindak,” tegasnya.
Untuk makluman, di samping penganjuran tiga acara berprestij ini, Kor Ming turut dijadualkan mengadakan siri mesyuarat dua hala berprofil tinggi dengan rakan antarabangsa.
Antaranya, Dr Kevin Austin, Timbalan Pengarah Eksekutif C40; Samed Agirbas, Presiden Yayasan Sisa Sifar; Philip Yang, Duta Khas COP30 untuk Bandar; Kazuko Ishigaki, Pengarah Serantau UN-Habitat; dan Srinivasa Popuri, Ketua Pejabat Program Pelbagai Negara Bangkok.
Perbincangan akan memfokus kepada pengukuhan tadbir urus pelbagai peringkat, meningkatkan daya tahan bandar, memajukan dasar sisa sifar, memperluas akses kepada pembiayaan iklim, serta menggalakkan kerjasama serantau untuk menyelaraskan pembangunan tempatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Perjanjian Paris.
AGMF diadakan seiring dengan Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF) dan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) dari 10 hingga 15 Ogos 2025 di sini bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Dari Kuala Lumpur ke ASEAN 2045: Harapan bandar untuk generasi akan datang – Dr Bernadia
KLCC ibarat hab bandar ASEAN: Malaysia pacu agenda bandar hijau, inklusif berdaya huni
ASEAN perlu jadi pemacu tindakan iklim global – Kor Ming
















