KUALA LUMPUR – “Bayangkan jika semua bandar di Asia Tenggara ini beroperasi secara inklusif, hijau dan berdaya tahan. Saya percaya kita mampu menyelesaikan banyak cabaran serantau.”
Begitulah keyakinan yang disuarakan Setiausaha Agung United Cities and Local Governments Asia Pacific (UCLG ASPAC), Dr Bernadia Irawati Tjandradewi, ketika ditemui MalaysiaGazette di sini sempena penganjuran tiga acara berprestij ASEAN yang menghimpunkan ribuan pemimpin tempatan dari seluruh rantau ini.
Buat pertama kali, Forum Pembangunan Bandar Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF), serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) diadakan serentak di satu lokasi, mencipta sejarah dalam kerjasama serantau.
Penganjuran ini selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat, sekaligus menandakan komitmen negara dalam memperkukuh peranan kerajaan tempatan sebagai pemacu utama pembangunan bandar yang mampan, berdaya huni dan inklusif.
Dr. Bernadia yang berasal dari Indonesia mengakui kehadirannya ke Malaysia kali ini membawa nilai sentimental dan strategik.
“Saya selalu gembira untuk kembali ke Malaysia. Saya pernah berada di sini beberapa kali dan setiap kali kunjungan, saya melihat Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, sebagai rujukan penting dalam pembangunan bandar.
“Banyak pengalaman dan amalan terbaik boleh dikongsi ke seluruh rantau,” katanya.
Sambungnya, kali ini Malaysia menjadi pentas pertemuan terbesar antara pemimpin kerajaan tempatan dan masyarakat ASEAN.
“Kita ada tiga platform penting yang berjalan serentak iaitu ASUF, AGMF dan MGMAC. Ia bukan sekadar persidangan, tetapi medan untuk membentuk agenda masa depan bandar di Asia Tenggara,” jelasnya.

Menurut beliau, acara kali ini mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 8,000 peserta mendaftar untuk menyertai sesi-sesi dialog, bengkel dan rangkaian kerjasama.
Dr. Bernadia turut merakamkan penghargaan kepada penaja yang memainkan peranan penting menjayakan penganjuran kali ini.
“Acara ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan padu daripada PR1MA, Airbnb, Gamuda, dan Prasarana. Sumbangan mereka membuktikan bahawa sektor korporat juga mempunyai peranan besar dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan di rantau ini,” katanya.
UCLG ASPAC sendiri, sebagai rangkaian kerajaan tempatan terbesar di Asia Pasifik, memainkan peranan penting dalam menghubungkan bandar-bandar di rantau ini untuk berkongsi amalan terbaik dan membentuk strategi bersama.
“Bulan Mei lalu, ASEAN telah meluluskan Visi Komuniti ASEAN 2045. Untuk memastikan visi ini benar-benar terlaksana, kita perlu melibatkan pihak berkuasa tempatan kerana mereka paling dekat dengan rakyat,” katanya.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi ASEAN, Dr Bernadia menjelaskan walaupun rantau ini stabil, kepelbagaian ekonomi, sosial dan geografi memerlukan pendekatan inklusif.
Jelasnya, urbanisasi yang pesat telah mewujudkan pelbagai isu daripada perubahan iklim, risiko bencana, pencemaran dan penggunaan tenaga berlebihan sehinggalah kepada masalah sosial seperti jurang digital dan ketidaksamarataan peluang.
“Kota adalah pusat penggunaan tenaga terbesar dan pengeluar pelepasan karbon yang tinggi, tetapi mereka juga adalah pusat penyelesaian.
“Jika setiap bandar mengambil langkah ke arah kelestarian, impaknya akan sangat besar untuk seluruh rantau,” tegasnya.
Dalam pada itu, Dr Bernadia menyuarakan aspirasi yang melangkaui sempadan politik dan ekonomi sebuah visi kehidupan berkualiti untuk semua.
“Saya ingin melihat generasi kita hidup dengan udara bersih, air minum yang selamat, rumah yang selesa dan mampan, serta pendidikan berkualiti. Kita semua bertanggungjawab melindungi dan memulihkan planet ini tanpa mengira kedudukan atau peranan,” ujarnya.
Beliau percaya bahawa kesejahteraan serantau tidak mungkin dicapai tanpa pembangunan bandar yang seimbang.
Katanya, pertumbuhan ekonomi mesti bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.
Sebagai pemimpin rangkaian bandar terbesar di rantau ini, Dr Bernadia menggesa semua pihak daripada pemerintah tempatan hingga komuniti akar umbi untuk bersama-sama merealisasikan agenda pembangunan mampan.
“Kita berada pada masa yang sangat penting untuk bertindak. Cabaran memang besar, tetapi peluang untuk mewujudkan ASEAN yang stabil, makmur dan inklusif adalah lebih besar.
“Inilah masa untuk kita bertindak secara kolektif,” katanya.
Penganjuran ASUF, AGMF dan MGMAC di Malaysia tahun ini menjadi bukti bahawa bandar-bandar di ASEAN semakin bersatu dalam membina masa depan yang lebih baik bukan sahaja untuk rakyat hari ini, tetapi juga untuk generasi yang akan datang. -MalaysiaGazette
















