KUALA LUMPUR – UMNO akan menghantar nota bantahan kepada semua kepimpinan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang bercadang atau yang telah mengizinkan kemasukan ahli-ahli UMNO ke dalam parti masing-masing.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, protes itu merupakan amaran keras yang mana perkara tersebut jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan.
Menurut beliau, perkara itu antara yang diputuskan menerusi mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan permohonannya untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah diterima dan beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.
Perkara itu itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang dilaporkan berkata, permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat pada 26 Julai lalu.
Pada perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat MKT UMNO malam ini turut melahirkan rasa kecewa selepas menyifatkan pengendalian dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir amat lemah bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, katanya, UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya inkues penuh dijalankan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.
“Moga-moga proses inkues ini kelak akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat arwah Zara Qairina,” katanya.
Berhubung kontroversi Jalur Gemilang pula, Asyraf Wajid berkata, UMNO menegaskan, tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan itu tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“UMNO memandang serius kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang yang merupakan maruah dan lambang kedaulatan negara,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, UMNO turut menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan bersabit kes titah adendum Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan buat bekas Perdana Menteri berkenaan.
“UMNO akan terus beriltizam untuk menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan pembelaan buat Najib,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Peguam Negara gagal menyekat Najib daripada meneruskan pendengaran permohonan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum.
Perkara itu ditentukan selepas rayuannya ditolak secara sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan hari ini. – MalaysiaGazette
















