DATUK Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bersama bekas anggota polis dan tentera yang dilantik sebagai warden sepenuh masa di MRSM. - Foto: FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama bekas anggota polis dan tentera akan memulakan tugas sebagai warden sepenuh masa di dua buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu di Besut dan Balik Pulau, Isnin depan.

Terdahulu, kesemua mereka bertemu dan diberikan taklimat oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, pengambilan warden daripada bekas anggota polis dan tentera itu merupakan inisiatif terbaharu Mara untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang.

Selain itu, kata beliau, langkah itu juga bagi menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah ditekankan beliau beberapa bulan lalu.

Jelasnya, warden yang dipilih berkenaan sudah melalui siri-siri tapisan termasuk sesi temuramah komprehensif untuk memastikan pesara-pesara dari kalangan anggota beruniform itu benar-benar memenuhi kriteria yang digariskan oleh MARA.

“Dalam amanat saya kepada mereka sebelum mereka memulakan tugasan minggu ini, antara lainnya saya mengingatkan bahawa “ASRAMA MRSM” ialah “RUMAH KEDUA” anak-anak MRSM.

“Di sinilah mereka belajar tentang tertib dan adab hidup bermasyarakat, tentang mengurus masa, tentang amanah dan tanggungjawab,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, peranan warden berkenaan bukan sekadar menjaga rutin harian pelajar, sebaliknya merupakan pendidik watak dan ibu bapa kedua yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina dan kasih sayang dibudayakan.

Tegasnya, Mara tidak bertoleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya adalah mendidik, memulih dan adil.

“Moga-moga MRSM boleh menjadi model sekolah berasrama di peringkat nasional: selamat, berdisiplin, beradab, dan membahagiakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast