KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan mendapatkan penjelasan Menteri Dalam Negeri berhubung insiden serangan anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli belah di Putrjaya hari ini.
Menurut Johari, beliau akan berhubung dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menjelaskan situasi yang berlaku.
“Saya akan berhubung dengan Menteri Dalam Negeri untuk minta penjelasan apa yang berlaku dan kalau perlu ini melibatkan keselamatan kita semua.
“Saya tak tahu apa yang berlaku sebenarnya, jadi saya akan minta Menteri Dalam Negeri berikan penjelasan kepada saya dan insya-Allah kalau saya kiranya perlu sesi penjelasan kita akan minta menteri datang untuk memberikan penjelasan (di Parlimen),” katanya ketika mencelah pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menyifatkan insiden berkenaan sebagai sesuatu di luar jangkaan.
Beliau menjawab celahan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta supaya Speaker Dewan Rakyat menggunakan budi bicara meminta Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hadir memberi penjelasan mengenai insiden tersebut di Parlimen esok.
Rafizi memberitahu Malaysiakini, serangan berlaku di luar kawasan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada pukul 1.30 tengah hari ini.
Sumber lain berkata, serangan berlaku di kawasan tempat letak kereta.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Rafizi hanya mengesahkan serangan tetapi tidak dapat mengulas lanjut buat masa ini.
Serangan terhadap anak Rafizi oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya mendapat perhatian Dewan Rakyat hari ini.
Chen meminta supaya Johari menggunakan budi bicara meminta Saifuddin Nasution memberi penjelasan mengenai insiden tersebut di Parlimen esok.
Chen menggunakan peraturan mesyuarat 14 (1) meminta Johari membuat satu petua bagi membolehkan menteri berkaitan memberi penjelasan.
“Ini merupakan perkara yang penting sebab dia menggugat bukan sahaja ahli Parlimen tapi keluarga kita juga dan tugas utama kita di Parlimen ialah untuk memastikan keselamatan yang terbaik untuk negara kita dan ahli-ahli Parlimen di sini.
“Jadi, kalau boleh saya nak minta budi bicara tuan speaker memberi sedikit petua dan juga mengarahkan kalau boleh esok pagi menteri yang berkenaan untuk hadir di Parlimen di depan kita memberi penerangan lanjut tentang perkara yang sangat-sangat tak baik ini.
“Kita juga harap ahli-ahli Parlimen daripada pihak pembangkang akan menyokong perkara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















