KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menetapkan had keuntungan yang boleh diperolehi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh tiga tahun dengan kadar keuntungan yang ditetapkan bagi tempoh kawal selia kekal 7.3 peratus.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kadar tersebut adalah sama sejak tahun 2018 lagi.
Menurut beliau, sekiranya TNB mencatatkan keuntungan melebihi kadar yang ditetapkan, lebihan tersebut akan dipulangkan semula kepada pengguna melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
“Selain itu, jumlah keuntungan yang ditetapkan ini adalah berpatutan dengan jumlah pelaburan yang perlu dibuat oleh TNB untuk menaiktaraf dan mengukuhkan grid nasional khususnya bagi menyokong aspirasi ASEAN Power Grid (APG), pembinaan dan penyelenggaraan loji janakuasa, pemasangan meter pintar dan digitalisasi sistem tenaga serta bagi menampung peningkatan kemasukan sumber tenaga boleh baharu untuk menyokong agenda peralihan tenaga negara.
“Oleh yang demikian, penetapan kadar keuntungan ini adalah berpatutan supaya TNB akan kekal stabil sebagai syarikat utiliti yang berupaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
“Pada masa yang sama ia dapat memberikan pulangan yang munasabah kepada pemegang-pemegang saham utama TNB yang terdiri daripada Syarikat-syarikat pelaburan kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang mana TNB telah memberikan dividen sebanyak RM15.75 bilion sejak 2018 hingga 2023,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta kerajaan menyatakan jumlah keuntungan tahunan dan tambahan keuntungan yang boleh diperolehi oleh TNB selepas kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.2 peratus ke atas sektor komersial pada 1 Julai dan bolehkah kenaikan ditangguhkan atau dipecahkecilkan memandangkan keuntungan TNB memang naik lebih 70 peratus pada 2024.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, TNB juga telah melaksanakan pelbagai program di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang meliputi inisiatif komuniti seperti Projek Baiti Jannati, Projek Mesra Rakyat, Bantuan Pusat Pendidikan, biasiswa dan lain-lain.
TNB juga katanya, turut melaksanakan program CSR bagi melindungi alam sekitar, membangunkan industri, menyokong perkembangan sukan di negara dan menunaikan tanggungjawab zakat kepada golongan asnaf. – MalaysiaGazette
















