KUALA LUMPUR – Pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah mengenal pasti berlaku ketidakpatuhan dalam prosedur siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lalu.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, penemuan awal itu dikesan selepas pengawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat ke atas mangsa.
“Kita juga telah mengesan terdapat persetujuan daripada ibu mangsa yang menandatangani memohon supaya proses bedah siasat tidak dibuat.
“Persetujuan itu turut melibatkan doktor, patalogi dan pegawai penyiasat dalam satu dokumen ‘Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang dikeluarkan pihak hospital,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Susulan itu katanya, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pegawai penyiasat dan penyelia kerana tiada penyeliaan berdasarkan siasatan pasukan petugas bermula 11 Ogos lalu.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar dipercayai terjatuh dari tingkat tiga pada 16 Julai lalu.
Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama jam 4 pagi kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. – MalaysiaGazette
















