GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Lima tukang urut lelaki warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan yang dijalankan di sebuah spa tanpa nama dan berlesen di Sri Petaling semalam.

Operasi Khas bermula pukul 12.15 tengah malam itu dilakukan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

Ketua pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua tangkapan melibatkan seorang lelaki warga Thailand dan empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun yang bekerja sebagai tukang urut.

“Modus operandi digunakan mereka dengan menggunakan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan urutan kepada pelanggan lelaki.

“Aktiviti ini dipercayai mengenakan kadar bayaran yang sebanyak RM109 untuk satu jam dan telah beroperasi sejak empat bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lima tukang urut lelaki warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan yang dijalankan di sebuah spa tanpa nama dan berlesen di Sri Petaling, semalam. Foto Imigresen.

Semakan awal mendapati lelaki warga Thailand itu memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) manakala empat  lelaki warga Myanmar tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Berikutan itu, pasukan operasi telah menyita wang tunai berjumlah RM3,101 disyaki hasil dari aktiviti haram, iklan khidmat urut dan kod QR untuk bayaran.

“Lelaki warga Thailand ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala empat lelaki warga Myanmar ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan seramai dua lelaki warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast