Peguam Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi mendengar keputusan rayuan Peguam Negara terhadap perintah Mahkamah Rayuan berkaitan semakan kehakiman mengenai titah adendum Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 OGOS 2025.

PUTRAJAYA – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mahukan panel sama Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Peguam Negara, mendengar semakan kehakiman titah adendum Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Beliau mahukan panel sama mendengar dan memutuskan semakan kehakiman berkaitan titah adendum, tanpa perlu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berpendirian, berdasarkan tiga nas undang-undang yang telah diputuskan sebelum ini, mahkamah tertinggi negara mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pemohonan semakan kehakiman, meskipun panel sama telah memutuskan rayuan Peguam Negara.

Hujah peguam, pertikaian berkaitan titah adendum harus diselesaikan segera kerana sebarang keputusan mahkamah memberi kesan kepada hukuman yang sedang dijalani oleh bekas Perdana Menteri.

Dalam permohonan lisannya, Muhammad Shafee menyatakan, prosiding di Mahkamah Tinggi akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat bulan sebelum ia didengar.

Ujar peguam, Najib tidak mampu kehilangan satu lagi hari dalam menjamin haknya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Muhammad Shafee mengemukakan permohonan itu sejurus panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman Najib ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memberi maklum balas bahawa hasrat tersebut perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada Peguam Negara sebelum mahkamah dapat mempertimbangkannya.

“Saya Hakim Besar Malaya dan saya telah mengarahkan agar kes-kes dilupuskan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan.

“Jika peguam mahu kami mendengar permohonan itu, kami hanya mempunyai kira-kira tiga bulan sebelum bersara.

“Hakim bukan robot kerana kami memerlukan masa untuk membaca dokumen dan membincangkan perkara itu sebelum menyampaikan keputusan,” ujarnya ketika menolak permohonan Muhammad Shafee.

Sehubungan itu, Hakim Hasnah berpendirian, pertikaian berkaitan titah adendum wajar diteruskan dan diputuskan melalui perbicaraan penuh di hadapan hakim Mahkamah Tinggi berlainan.

Hakim berkenaan selanjutnya menyatakan, jika Mahkamah Persekutuan mendengar semakan kehakiman Najib, ia akan melucutkan hak pihak-pihak untuk merayu kerana keputusan itu adalah muktamad.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar tidak bersetuju dengan permohonan tersebut dan menyatakan semakan kehakiman perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi, bukannya di mahkamah tertinggi.

Panel itu kemudian menetapkan 18 Ogos ini untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast