KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan berhubung kekecohan kumpulan peserta ketika penyerahan memorandum di Jalan Parlimen di sini yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah mengesan video tular berdurasi dua minit 31 saat itu menerusi aplikasi Tik Tok hari ini.
“Video itu memaparkan peserta perhimpunan telah membuat provokasi dan merempuh pihak polis yang bertugas mengawal keselamatan di lokasi.
“Akibat kejadian itu, seorang pegawai polis mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 353/ 427 Kanun Keseksaan.
“Polis komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara dan menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Peruntukan ini adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan seharusnya digunakan secara baik dan berhemah. Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau,” jelasnya. – MalaysiaGazette















