KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera dan telus digerakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden melibatkan anak lelaki kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Perdana Menteri berkata, perkara itu telah dimaklumkan terus kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan tindakan pantas diambil oleh pihak berkuasa.
“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri saudara Saifuddin Nasution bagi memastikan siasatan telus dan segera,” kata Anwar dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Anwar dalam nada tegas menyifatkan insiden tersebut sebagai satu perbuatan jahat dan khianat yang tidak boleh diterima.
“Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan doa dan solidariti kepada Rafizi serta keluarganya susulan kejadian tersebut.
“Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga,” kata Anwar.
Kenyataan itu dikongsikan menerusi pelbagai platform media sosial rasmi beliau termasuk Facebook, Instagram, X, WhatsApp dan Telegram.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR mendakwa dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar menyerang anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, hari ini.
Dalam perkongsian di Facebook, beliau mendakwa seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu pada 1.45 tengah hari.
Kejadian itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Ketika kejadian, Rafizi berkata, anak lelakinya ada bersama isterinya.
Ahli Parlimen Pandan itu turut mendakwa semakan menunjukkan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal mengekori kereta isterinya dan beliau berpandangan bahawa individu terbabit mungkin sudah merancang serangan berkenaan lebih awal.
Rafizi juga berkata, anaknya sudah dibawa ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan dan pihak polis juga sudah berada di tempat kejadian sejurus kejadian untuk siasatan.
Katanya, beliau dan keluarganya sudah memberi kenyataan kepada pihak polis berhubung kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette

















Tak selamat Malaysia dahni. Jenayah menjadi-jadi. Kes Faisal Halim masih lagi tidak jumpa penjenayahnya, kali ini kanak-kanak pula jadi magsa. Tukar kerajaan cepat lah macam ni.