KAKITANGAN SSB mendengar penerangan daripada pakar industri dalam kursus berkaitan perladangan di Tawau, Sabah, baru-baru ini. - Foto: IHSAN UPM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sabah Softwoods Bhd (SSB) memperkukuh kemahiran teknikal, pengurusan dan profesionalisme tenaga kerja industri perladangan dengan melaksanakan program pensijilan UPM–SSB yang diiktiraf oleh OTHM Qualifications, United Kingdom (UK).

Menerusi program itu, pensyarah berpengalaman dari UPM dan pakar industri menyampaikan modul latihan yang merangkumi bidang teknikal perladangan, pengurusan sumber manusia, keselamatan pekerjaan dan aplikasi teknologi pertanian terkini kepada 64 penyelia ladang SSB di Tawau, Sabah selama dua minggu baru-baru ini.

Program pensijilan Certified Agriculture and Food Security (CAFCs): Oil Palm Management and Operation itu diiktiraf Organisation for Tourism and Hospitality Management (OTHM) UK itu mengandungi piawaian antarabangsa untuk meningkatkan kemahiran, kredibiliti dan kebolehpasaran peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Softwoods Bhd., Datuk Mohd. Daud Tampokong berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen SSB untuk membangunkan tenaga kerja kompeten yang berkemahiran tinggi untuk berdaya saing di peringkat global.

“Peserta SSB harus memanfaatkan peluang ini sepenuhnya bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan selaras dengan perkembangan industri perladangan yang semakin kompetitif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu menyifatkan kerjasama strategik tersebut sejajar dengan aspirasi UPM memperkukuh jaringan akademia dan industri perladangan dalam menyokong agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Katanya, UPM berharap potensi kerjasama strategik dengan SSB dalam perladangan sawit akan dipertingkatkan secara lestari pada masa hadapan supaya syarikat itu mempunyai daya saing dengan syarikat perladangan sawit lain di peringkat antarabangsa.

“UPM bukan sahaja membawakan pensyarah merangkap penyelidik pertanian ke program ini, tetapi juga 20 pelajar untuk melaksanakan khidmat komuniti Jiwa Putra dengan mengecat mural bertema perpaduan dan program motivasi di dua buah sekolah ladang milik SSB,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast