KUALA LUMPUR – Semua kelab Liga Super berjaya melengkapkan penyerahan dokumen bajet dan pramusim bagi musim 2025-2026 selaras peraturan Financial Fair Play (FFP) ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, dokumen itu merangkumi bajet, surat persetujuan penaja, senarai pemain, pegawai dan kakitangan kelab, termasuk butiran jumlah gaji serta caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata, deklarasi tunggakan setakat Jun 2025 turut dikemukakan mengikut Artikel 9(1) dan Artikel 10(1) peraturan FFP, sebelum proses verifikasi oleh Unit FFP MFL.

FIB bertanggungjawab meneliti dan menilai dokumen berkenaan bagi memastikan kelab mematuhi prinsip pengurusan kewangan mampan serta selari dengan kriteria FFP MFL.

“Hasil penyerahan ini membolehkan MFL mengetahui jumlah bajet yang akan digunakan untuk pembayaran gaji dan caruma, berdasarkan had perbelanjaan gaji atau gaji siling 80 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sheikh Mohd Nasir berkata, Unit FFP akan mengadakan lima sesi pemantauan sepanjang musim 2025–2026, dengan kelab diwajibkan menghantar laporan pendapatan, perbelanjaan, deklarasi gaji dan caruman setiap dua bulan.

“Tarikh akhir penyerahan dokumentasi pemantauan pertama adalah pada 16 Oktober ini, meliputi laporan bagi Ogos dan September.

“Sekiranya kelab mempunyai tunggakan, perkara itu akan dibawa kepada perhatian FIB untuk tindakan di bawah Artikel 10 dan 14(1)(b). Pelanggaran boleh dikenakan tindakan, termasuk hukuman sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast