SHAH ALAM – Polis telah memanggil enam orang saksi bagi merakamkan keterangan berhubung insiden serangan fizikal ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Beberapa individu lain adalah berkaitan dengan Rafizi termasuk Datuk Seri Rafizi dan isteri,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar pada sidang media berhubung perkembangan terkini kes berkenaan di Ibu Pejabat Kontingen Selangor petang tadi.
Ditanya sama ada polis sudah mengenal pasti mana-mana individu yang bertanggungjawab, Shazeli menjelaskan, setakat ini siasatan masih dijalankan.
“Belum lagi setakat ini, masih lagi dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, berdasarkan kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman itu akan dapat membantu siasatan kes berkenaan.
“Siasatan awal melalui CCTV ada memberi sinar dan bantuan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan. Banyak rakaman CCTV, itu bukan sahaja di premis IOI malah di luar pun kita ada buat litupan dan kajian jugalah,” katanya lagi.
Semalam polis mengesahkan anak seorang bekas menteri diserang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Shazeli dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 2 petang semalam di kawasan mengambil dan menurun penumpang.
Katanya, mangsa ialah seorang kanak-kanak lelaki dan kini masih dalam pemeriksaan lanjut di sebuah hospital di Selangor.
Mengesahkan insiden membabitkan anaknya, Rafizi mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dan telah mengekori kereta isterinya.
Awal hari ini, Rafizi mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan iaitu ‘diam, jika teruskan, AIDS,’ selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang semalam.
Katanya, mesej itu diterima sekitar pukul 1.45 tengah hari yang turut disertakan emoji picagari. – MalaysiaGazette
















