KEPALA BATAS – Lebih 500 anak muda mewakili Pergerakan Pemuda UMNO, Armada Bersatu dan Pas hari ini berarak bersama mengibarkan Jalur Gemilang sejauh 1.4 kilometer sebagai simbol perpaduan mempertahankan maruah bendera negara.
Perarakan yang diketuai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh itu bermula pukul 5.30 petang dari tapak pasar malam Kepala Batas menuju sebuah kedai perkakasan di Taman Bertam Permama yang dikaitkan dengan insiden menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.
Sepanjang 15 minit perjalanan, kumpulan berkenaan melaungkan slogan “Pertahan Jalur Gemilang” dan “Merdeka” dengan penuh semangat.
Turut hadir Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah yang bersama-sama memegang bendera dan berarak hingga ke lokasi.

Selain itu, kira-kira 150 pegawai dan anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melakukan kawalan di lokasi perhimpunan.
Muhamad Akmal ketika berucap berkata, perhimpunan itu bukan bertujuan membuli mana-mana piha, sebaliknya untuk memberi mesej jelas bahawa isu bendera bukan perkara kecil.
“Isu bendera ini bukan untuk dibesar-besarkan tetapi ia adalah maruah kita semua. Hari ini kita datang untuk beri mesej jelas bahawa kita tidak boleh menerima kesilapan ini
“Kita tahu pihak polis telah lakukan siasatan dan kertas siasatan sudah lengkap serta dihantar jadi kita minta pendakwaan dibuat agar ia menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.
Tambah Dr Muhammad Akmal, penyertaan pelbagai parti politik hari ini membuktikan perjuangan mempertahankan bendera negara melangkaui fahaman politik.
“Ini bukan soal politik, bangsa atau agama. Pemuda UMNO, Armada Bersatu dan Pas hari ini berdiri di bawah satu panji iaitu Jalur Gemilang,” katanya.

Terdahulu, beberapa pimpinan DAP negeri turut berada di lokasi mengagihkan lebih 700 Jalur Gemilang kepada orang awam yang melalui kawasan tersebut. – MalaysiaGazette















