Kompleks Mahkamah Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah mengedar lebih tiga kilogram dadah jenis kanabis, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam pendakwaan terhadap tertuduh, Norazan Che Derahman, 46, pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Suriyati Hasimah berkata, pihak pembelaan gagal menyangkal keterangan bahawa tertuduh mempunyai milikan, jagaan dan kawalan ke atas dadah seperti mana dalam pertuduhan.

Beliau berkata, mahkamah berpeluang mempertimbangkan secara maksima segala keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pembelaan dan telah menghalusi hujahan bertulis dan lisan oleh kedua-dua pihak.

“Mahkamah mendapati pembelaan yang telah dibangkitkan adalah bersifat penafian semata-mata atau ‘bare denial’ dan ‘afterthoughts’ (alasan kemudian).

“Oleh itu, mahkamah mendapati satu kes di luar keraguan munasabah telah berjaya dibuktikan terhadap tertuduh dan mendapati tertuduh bersalah di atas kesalahan mengedar dadah berbahaya seperti mana pertuduhan terhadapnya,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 September 2022 serta 12 kali sebatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki yang sebelum ini bekerja kampung dan menjual hasil kebun belakang rumahnya didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat bersih 3,259.5 gram di sebuah rumah dekat Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, pukul 1.15 petang, 4 September 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 12 kali sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mengemukakan enam saksi pendakwaan ketika perbicaraan di peringkat pendakwaan, manakala peguam Zurina Sidek yang mewakili tertuduh mengemukakan seorang saksi pembelaan ketika prosiding bela diri iaitu tertuduh sendiri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast