GEORGE TOWN – Lima warga Iran yang terlibat dalam kes mencuri wang pelancong asing dengan taktik berpura-pura mesra sebelum mengambil wang mangsa akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok.
Antara pertuduhan yang bakal dihadapi termasuk mencuri di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
MalaysiaGazette difahamkan, seorang lelaki berusia 34 tahun berdepan dua pertuduhan mencuri dalam dua kes berasingan manakala rakannya berumur 30 tahun pula, berdepan satu pertuduhan mencuri membabitkan laporan kes di Pulau Tikus.
Lelaki sama berusia 34 tahun itu turut akan didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 bersama seorang lagi rakan berumur 35 tahun.
Selain itu, kesemua lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun itu juga akan didakwa atas pertuduhan tinggal lebih masa serta memiliki dadah di bawah Seksyen 6 ADB 1952.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan semua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Media pada 3 Ogos lalu melaporkan, tiga pelancong asing dari Taiwan, Belanda dan Syria menjadi mangsa sindiket pukau membabitkan kumpulan itu di sekitar Pulau Tikus dan Jalan Penang antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, modus operandi sindiket itu adalah berpura-pura beramah mesra sebelum meminta mangsa menunjukkan wang tunai.
“Ketika perbualan berlangsung, wang mangsa diambil tanpa disedari dan hanya disedari selepas suspek beredar,” katanya. – MalaysiaGazette
















