Gambar hiasan

TANGKAK – Seorang pesara rugi RM695,375 selepas tertarik dengan pelaburan saham secara dalam talian yang menjanjikan keuntungan 100 peratus.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 60 tahun.

“Semuanya bermula pada 2 Julai lalu selepas mangsa melayari Facebook dan berminat untuk menyertai pelaburan Franklin Templeton.

“Mangsa kemudian telah berhubung dengan suspek melalui Whatsapp dan telah diarahkan untuk menekan pautan bagi memuat naik aplikasi pelaburan bernama DESG,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata, mangsa kemudian ditawarkan pelaburan saham dalam talian dengan keuntungan lumayan.

“Tertarik dengan tawaran 100 peratus keuntungan, mangsa membuat pindahan sebanyak 16 transaksi ke dalam empat mule account bermula 2 Julai hingga 12 Ogos lalu melibatkan RM695,375.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam waktu yang singkat.

Roslan menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau scam.

Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan ‘scam’ melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.

“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa scam, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun, suspek” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast