Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Radzi Jidin berucap pada Dialog terbuka di Volo Space, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2025.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin menyifatkan insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku di negara ini khususnya kepada keluarga ahli politik.

“Itulah, bila saya dengar semalam Ahli Parlimen Subang bangkitkan di Parlimen kata anak Rafizi diserang, itu sesuatu yang mengejutkan. Jadi, kita doakan semoga anak beliau sembuh dan anak beliau diberi kekuatan.

“Budak 12 tahun menghadapi situasi itu tentunya kalau tidak dipulihkan dengan baik, nanti ada trauma dan sebagainya,” katanya.

Radzi berkata demikian selepas menjadi salah seorang panel Dialog terbuka: Anda Tanya, Kami Jawab, malam tadi.

Turut hadir adalah ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin dan Exco Armada, Naim Brundage.

Mengulas lanjut, Radzi mengakui beliau tidak pernah terlintas perkara seperti itu boleh berlaku apatah lagi di hadapan masyarakat awam.

“Jadi, kita mohon supaya pihak polis lakukan siasatan dan ambil tindakan yang sewajarnya kepada semua yang terlibat dalam kes tersebut,” ujarnya.

Radzi turut menegaskan, serangan sepatutnya tidak dilakukan terhadap ahli keluarga terutama kanak-kanak.

Insiden membabitkan anak Rafizi dilaporkan berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kelmarin.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu bagaimanapun dilaporkan selamat dan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast