Md Israk Abdullah

JOHOR BAHRU – Kenyataan Pas Johor yang mendakwa pelaburan pusat data bernilai RM164.45 bilion akan memberi impak negatif adalah cubaan menakut-nakutkan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, kenyataan itu jelas dibuat tanpa memahami fakta sebenar dan hanya bermotifkan politik murahan.

“Setiap projek pusat data di Johor tidak dibangunkan secara sembarangan. Ia wajib melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) yang dianggotai agensi teknikal dan bukan teknikal negeri serta Persekutuan.

“Ia memerlukan syarat-syarat ketat yang perlu dipatuhi dan ini tidak disebutkan Pas. UMNO Johor juga menafikan dakwaan anak-anak Johor akan dipinggirkan.

“Anak Johor jadi keutamaan. Kerajaan negeri menetapkan strategi bersama-sama universiti serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan jawatan berkemahiran tinggi diisi anak Johor.

“Tuduhan Pas bahawa peluang ini akan dimonopoli tenaga kerja asing hanyalah andaian yang memperlekeh kebolehan rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni melahirkan kembimbangan projek itu akan memberi impak negatif terhadap kehidupan harian, alam sekitar dan masa depan Bangsa Johor.

Md Israk berkata, kerajaan Johor dengan kerjasama kerajaan Persekutuan akan terus mempergiat sesi libat urus bersama-sama pelabur dan syarikat di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dalam usaha merealisasikan kadar gaji minimum.

Setiap pelabur pusat data katanya, wajib melaksana tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan komitmen bertulis, menyalurkan manfaat terus kepada komuniti setempat.

Hasil pelaburan tersebut katanya, akan meningkatkan infrastruktur, membuka peluang pekerjaan dan menjana ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri Johor komited memastikan pelaburan pusat data ini bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, malah mengutamakan kepentingan rakyat, kelestarian alam sekitar, dan kesejahteraan Bangsa Johor.

“Pelaburan mega seperti ini akan membuka peluang besar jika diurus secara bijaksana. Johor akan memastikan setiap langkah mengimbangi kemajuan teknologi dengan kelestarian hidup rakyat.

“UMNO Johor mengajak Pas Johor bersama-sama menjayakan agenda Maju Johor dan jika benar ikhlas membela rakyat, marilah sama-sama tuntut 25 perastus pulangan cukai kepada Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast