KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, dana RM42 juta yang sepatutnya digunakan untuk membiayai projek di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah dipindah masuk ke dalam dua akaun peribadi Ambank milik Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling berkata, beliau hanya mengetahui akaun itu milik bekas Perdana Menteri melalui laporan media ketika perbicaraan SRC International berlangsung.
Menurut saksi pertama itu, beliau juga tidak mengetahui dana itu berpunca daripada SRC International ketika menerima arahan daripada Allahyarham Datuk Azlin Alias (ketika itu Setiausaha Sulit Najib) untuk memudahkan pemindahan wang daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).
“Pada masa itu, saya tidak mengetahui sumber dana tersebut, dan Azlin juga tidak memaklumkan kepada saya mengenainya. Saya boleh mengesahkan bahawa dana itu bukan berasal atau milik YR1M.
“Namun, berdasarkan laporan media dan keputusan kes SRC selepas itu, saya difahamkan dana yang dipindahkan ke IPSB itu berasal daripada SRC,” katanya.
Beliau memberi keterangan sebagai saksi plaintif pertama dalam saman yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap Najib untuk mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk itu.
Ditanya mengenai hubungan antara YR1M dan IPSB, saksi berkata, YR1M memberikan sokongan kewangan melalui geran dan pembiayaan kepada IPSB bagi melaksanakan program komuniti selaras dengan prinsip inisiatif 1Malaysia.
Su Ling berkata, pada September 2014, Azlin memaklumkan dalam beberapa bulan, dana akan dipindahkan ke `akaun bank yang diselenggara’ oleh Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).
Ujarnya, beliau kemudian diarah oleh Azlin untuk memberitahu Pengarah Urusan IPSB ketika itu, Datuk Seri Shamsul Anwar Sulaiman ke mana dana itu akan dipindahkan.
Kata Su Ling, pada masa material, beliau tidak dapat mengagak bagaimana dana itu digunakan namun mengikut arahan Azlin dan mengarahkan Shamsul mengagihkan RM42 juta ke dalam akaun AmBank tertentu.
“Bagaimanapun, berdasarkan laporan media dalam perbicaraan jenayah melibatkan Najib, saya mengetahui bahawa akaun berakhir dengan nombor ‘880 dan ‘906 di mana dana itu dipindahkan merupakan akaun peribadi Najib,” katanya.
Ujar Su Ling, sumber dana RM42 juta itu bukan milik YR1M iaitu pertubuhan amal yang diseliakannya dan hanya mengetahui ia berpunca dari SRC International melalui laporan media.
Dana itu dipindahkan pada penghujung 2014 dan awal 2015.
Katanya, pemindahan wang daripada IPSB itu dilakukan sebanyak tiga kali iaitu masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 8 September ini. – MalaysiaGazette
















