Ibu tunggal, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menunjukkan gambar anak lelakinya Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Ulu Tiram, Johor, pada Julai lalu yang disyaki menjadi mangsa buli berdasarkan bentuk kecederaan dan luka yang dialami pada sidang media di premis Naran Singh & Co, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 OGOS 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, memohon perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, turut memohon perintah Mahkamah Tinggi agar Peguam Negara menjalankan inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.

Wanita itu percaya terdapat unsur jenayah dalam kematian Allahyarham Syamsul Haris apabila menerima pelbagai percanggahan alasan dan punca kematiannya.

Ummu Haiman memfailkan notis usul di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam dengan menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Allahyarham Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.

Ibu tunggal, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, pada sidang media mengenai anak lelakinya Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Ulu Tiram, Johor, pada Julai lalu yang disyaki menjadi mangsa buli berdasarkan bentuk kecederaan dan luka yang dialami di premis Naran Singh & Co, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 OGOS 2025 (GAMBAR FAIL)

Dalam notis usul itu, Ummu Haiman memohon perintah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara supaya mengarahkan kuburnya digali semula.

Ummu Haiman turut memohon perintah mahkamah supaya pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.

Post-mortem itu hendaklah dijalankan dengan kehadiran Pakar Forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan turut dihadiri peguamnya, Datuk Naran Singh atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan post-mortem mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.

Turut dipohon, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah untuk melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Ummu Haiman mengemukakan alasan, bedah siasat tidak dilakukan oleh pakar forensik hospital tetapi hanya dilakukan oleh Dr George Sixtus Fernandez Jr yang merupakan Pegawai Perubatan gred UD10 sahaja.

“Saya dan keluarga tidak dapat melihat keseluruhan jasad Allahyarham semasa berada di Jabatan Forensik dan semasa jenazah dimandikan dan dikapankan.

“Jenazah Allahyarham juga telah dibawa keluar di dalam keranda yang tertutup dan selepas dipaksa membuka penutup keranda, hanya bahagian muka sahaja yang dibuka dan ditunjukkan,” katanya.

Ummu Haiman turut memfailkan perakuan segera melalui peguamnya supaya pendengaran permohonan itu dipercepatkan.

Pada 12 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata jawatankuasa khas yang diwujudkan di bawah Kementerian Pertahanan bagi menyiasat kes kematian Allahyarham akan membuat kajian dan memastikan laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar itu.

Zambry berkata, KPT tidak melindungi mana-mana pihak dalam siasatan kematian Allahyarham dan sudah mengarahkan UTM memberi kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa siasatan.

Jawatankuasa berkenaan turut membabitkan beberapa kementerian lain, termasuk Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

PALAPES UTM: Tiada kesan cedera berunsur penderaan pada tubuh mangsa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast