JOHOR BAHRU – Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang mengalami pendarahan di kepala dipercayai akibat terjatuh selepas ditolak rakan di sekolah sudah selamat menjalani pembedahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Pembedahan yang dilakukan pada Selasa lalu mengambil masa tujuh jam. Saya menziarah keluarga murid prasekolah berkenaan yang kini menerima rawatan di HSA akibat kecederaan pada bahagian kepala selepas terjatuh di tapak perhimpunan sekolah pada Isnin.

“Difahamkan, kejadian berlaku sekitar pukul 6.45 petang ketika murid menemani ibunya, seorang guru prasekolah, yang sedang membuat persiapan pentas bersama-sama ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk program sambutan hari lahir peringkat sekolah.

“Ketika bermain bersama-sama rakan sebaya, murid terjatuh. Keadaan kelihatan normal tanpa kecederaan luaran sehingga malam, namun sekitar pukul 2 pagi, murid didapati tidak sedarkan diri,” katanya selepas melawat kanak-kanak tersebut.

Kharin-Nisa memberitahu, murid berkenaan dibawa ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke HSA.

“Pemeriksaan mendapati terdapat keretakan serta pendarahan di bahagian kepala.

“Pada Selasa, pembedahan telah dijalankan selama lebih 7 jam untuk mengeluarkan pendarahan tersebut dan kini murid berada di bawah pemerhatian rapi pihak hospital,” ujarnya.

Hadir sama menziarahi murid terbabit ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, Ahmad Hashim Selamat dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

Pada Selasa, Sinar media melaporkan seorang ibu memohon orang ramai mendoakan anaknya yang sedang bertarung nyawa sembuh selepas dipercayai ditolak rakan.

Pengguna nama dalam Facebook, Zalinda Lin berkata, tempurung kepala anaknya, Aisyah Sofia Rohaizan retak dan berlaku pendarahan dalam kepala.

Dalam hantaran sama, Zalinda turut memuat naik sekeping gambar memaparkan anaknya yang memakai pakaian seragam sekolah rendah.

Hantaran tersebut mendapat lebih 13,000 perkongsian, dengan lebih 3,000 komen yang rata-rata mendoakan kesembuhan buat kanak-kanak tersebut.

Zalinda turut mendoakan agar anaknya diberikan kesembuhan selain kembali ceria seperti sediakala.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Khairin-Nisa (tengah) melawat Aisyah Sofia selepas menjalani pembesahan di HSA, Johor Bahru

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast