Anwar Ibrahim.

PUTRAJAYA – Kerajaan mendapati wujud isu kelayakan masuk skim perkhidmatan askar-lasykar Angkatan Tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa I.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju untuk memperluaskan tujuh kelayakan masuk pelbagai bagi skim perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) seperti Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.

“Kerajaan sedar bahawa pemberian insentif berasaskan prestasi (BIPs) yang diberikan terhad sehingga Pegawai Waran II Setaraf (Gred Z6) dan Pegawai Waran I Setaraf (Gred Z7) sahaja yang memenuhi tempoh perkhidmatan enam tahun di gred semasa.

“Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan insentif ini kepada Anggota Lain-lain Pangkat ATM iaitu Sarjan Setaraf (gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (gred Z5).

“Tempoh perkhidmatan yang melayakkan insentif BIPs bagi anggota LLP ATM bagi Gred Z4 hingga Z7 dipendekkan dari enam tahun kepada empat tahun,” katanya berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika melancarkan Buku Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke 20 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 15 OGOS 2025

Perdana Menteri berkata, insentif ini akan memberi faedah kepada 3,789 anggota dengan implikasi sebanyak RM6.47 juta setahun dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk memberikan Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) yang berbentuk insentif kewangan kepada pegawai awam.

“Ia melibatkan Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Kumpulan Pelaksana yang memula dan menamatkan pengajian serta memiliki kelayakan akademik lebih tinggi yang diiktiraf semasa dalam perkhidmatan menggunakan perbelanjaan sendiri,” katanya.

Jelasnya, kadar pemberian HPA yang bersifat sekali dalam sepanjang perkhidmatan berjumlah RM1,250 bagi mereka yang mendapat ijazah kedoktoran dan RM1,000 bagi mereka mendapat ijazah sarjana.

“Bagi mereka yang mendapat ijazah sarjana muda pula, mereka akan diberikan sebanyak RM750 serta RM500 pula bagi mereka yang mendapat diploma atau kelayakan setaraf,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan memperuntukkan bajet sebanyak RM75.7 juta yang akan memberi manfaat kepada 91,672 pegawai awam yang merentasi semua skim perkhidmatan.

“Namun begitu, pemberian HPA ini tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast