BUTTERWORTH – Seorang penghantar kurier direman enam hari bagi membantu siasatan kes ragut membabitkan seorang wanita berusia 70 tahun di Bagan Lalang di sini semalam.
Perintah reman sehingga 20 Ogos ini terhadap suspek berusia 30 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Balqis Roslin bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.
Difahamkan, kejadian berlaku pukul 8.45 pagi ketika mangsa sedang menyiram pokok bunga di hadapan rumah sebelum didatangi suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iriz kononnya untuk menghantar bungkusan secara bayaran tunai (COD).
Mangsa kemudian masuk ke rumah mengambil wang RM31 sebelum menyerahkannya kepada suspek.
Bagaimanapun, suspek menggenggam tudung mangsa di bahagian leher, menolaknya sehingga jatuh lalu merentap rantai leher emas yang dipakai mangsa.
Mangsa dikatakan cuba melawan menyebabkan rantai tersebut putus kepada tiga bahagian namun suspek sempat melarikan diri dengan satu bahagian bersama wang COD berjumlah RM31.
Susulan itu, bertindak atas maklumat, sepasukan menahan suspek di rumahnya di Taman Merak, Kulim, Kedah pukul 11 malam hari yang sama.
Difahamkan, suspek bertindak demikian susulan duit pelanggan COD yang dipegangnya ‘hangus’ dalam pelaburan forex dan perjudian dan dia melakukan samun itu bagi mendapatkan wang segera untuk menggantikan jumlah berkenaan kepada syarikat kurier.
Turut dirampas resit jual beli emas atas nama suspek, wang tunai RM1,270 serta sebuah kereta Proton Iriz yang dipercayai digunakan ketika kejadian. – MalaysiaGazette















