Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Sebarang kesalahan dalam pemasangan atau pemaparan bendera Malaysia atau Jalur Gemilang secara tidak wajar boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya menimbulkan kekeliruan, salah faham serta kegusaran awam.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan menegaskan, pihaknya memandang serius isu berkenaan termasuk perbuatan memaparkan, mengibarkan atau memasang bendera negara yang tidak mengikut tatacara yang ditetapkan.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab untuk menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara, serta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya,” kata kenyataan itu.

Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu atau pihak yang disyaki melakukan kesalahan tersebut.

Antaranya, tindakan menyerbu premis, menularkan maklumat peribadi, membuat tuduhan melulu di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan serta mengarah penurunan bendera atau menyita bahan tanpa kuasa undang-undang.

Semua aduan atau maklumat berkaitan perlu disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.