Peserta bersama masyarakat Kampung Kobuni, Inanam dalam Projek Keluarga Angkat.

KOTA KINABALU – Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar (UPPLB), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Kembara Mobiliti Ilmu dan Budaya Sabah Onsoi Tahun 2025 di Kampung Kobuni, baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Jesselton University College (JUC) bertujuan memperkasa jambatan ilmu, memperkukuh hubungan antara
institusi pendidikan dengan komuniti sekaligus memelihara budaya setempat.

Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar, FPPS UMS, Dr. Connie Cassy Ompok berkata, projek keluarga angkat itu membuka peluang kepada peserta untuk memahami kehidupan penduduk kampung, sekali gus mempelajari nilai kekeluargaan
dan persaudaraan menerusi keihklasan dan keterbukaan hati.

“Program ini bukan sahaja sebuah platform berkongsi ilmu dan pengalaman, tetapi juga membina sebuah kisah persahabatan, kasih sayang, dan penghargaan terhadap warisan budaya yang tidak ternilai.

“Ia mempunyai penerapan nilai pengajaran seperti amalan bekerjasama, hormat-menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Program ini juga menerapkan bahawasanya ilmu bukan sahaja diperoleh di bilik kuliah tetapi juga dalam
kehidupan seharian masyarakat,” katanya.

Dalam ucapan perasmian, Connie turut meluahkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sekaligus mengharapkan program ini mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak kampung untuk mengejar cita-cita, memupuk semangat dan
mewujudkan rasa cinta terhadap warisan.

Sementara itu, wakil USM, Dr. Jacqueline Karimon berkata, program tersebut bukan sekadar membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan, tetapi juga menjadi jambatan merapatkan kefahaman budaya antara peserta dari pelbagai latar.

“Melalui perkongsian pengalaman, kita bukan sahaja mempelajari ilmu baharu, tetapi turut menyemai rasa hormat dan cinta terhadap warisan yang membentuk identiti kita,” ujarnya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast