Yang di-Pertuan Agong memeriksa Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing pada hari ini.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menitahkan Kementerian Pertahanan agar batalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.

Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan kementerian berkenaan supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand (terpakai). Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘agent’ atau bekas Jeneral yang menjadi ‘salesman’ malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘ drone’.

“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah maka peruntukan yang ada tidak akan cukup. Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing pada hari ini.

Seri Paduka Baginda juga menitahkan kerajaan memberi keutamaan kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas dengan memastikan setiap perolehan aset tentera dibuat secara teliti, iaitu berlandaskan harga pasaran dan keperluan sebenar pengguna, bukannya mengikut cadangan ejen semata-mata.

Titah baginda, pembelian aset yang tidak relevan atau terlalu mahal bukan sahaja merugikan, malah membazirkan peruntukan negara.

“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titah Seri Paduka Baginda yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK).

Yang di-Pertuan Agong juga mengimbas kembali teguran baginda lima tahun lalu berhubung pembelian bot Rigid Riding Craft (RRC) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot yang lebih baik boleh diperoleh dibawah RM2 juta.

“Baru-baru ini pula, saya dapat tahu ada cadangan untuk beli lagi bot sama tetapi saiz yang besar sedikit dengan harga hampir RM10 juta. Ini tidak masuk akal dan harus diteliti secara betul.

“Selain daripada harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan. Apa telah jadi dengan kolam selam tempur di kem ini yang sepatutnya siap pada 2022, tetapi sehingga kini masih belum boleh digunakan,” titah Seri Paduka Baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast