JASIN – Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam rusuhan di tempat awam selepas terlibat dalam kemalangan di tepi jalan Jasin-Bemban di sini semalam yang turut tular di media sosial.
Suspek berusia 20 hingga 57 tahun tahun itu ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di lokasi dan pekarangan IPD Jasin selepas kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 pagi.
Menurut sumber, siasatan mendapati pergaduhan berpunca apabila empat buah kenderaan jenis Volkswagon Passat, Mitsubishi Triton, Toyota Vios dan Proton Exora dinaiki tujuh lelaki terbabit dalam kemalangan.

“Pergaduhan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kerana seorang suspek hanya mengacukan kayu untuk menakut-nakutkan sebelum dua suspek ditahan di lokasi manakala dua lagi di pekarangan IPD Jasin.
“Bagaimanapun, tiga lagi lelaki yang menaiki Proton Exora masih bebas dan sedang dikesan pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Sumber menambah, semakan mendapati suspek berusia 20 tahun mempunyai empat rekod jenayah.
Semalam, satu klip video berdurasi 38 saat tular memaparkan aksi pergaduhan membabitkan tiga individu menggunakan kayu serta kabel di tepi jalan.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















