PELABUHAN KLANG – Rakyat diingatkan tidak leka dengan insiden Jalur Gemilang yang dipasang terbalik kerana bendera Malaysia adalah milik semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jalur Gemilang yang menjadi sebahagian daripada Hari Kemerdekaan sepatutnya menjadi medium untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.
“Ini merupakan satu manifestasi untuk bersama-sama kita meraikan Hari Kebangsaan secara bersama.
“Walaupun ada beberapa insiden baru-baru ini yang melibatkan Jalur Gemilang, tetapi kita jangan hilang fokus bahawa Jalur Gemilang adalah bendera kita bersama.
“Hari kebangsaan ini sepatutnya menyatupadukan rakyat Malaysia dan mengingatkan kepada kita bahawa kecintaan kepada negara perlulah dalam naluri dan kehidupan kita,” katanya berucap Program Kibarkan Jalur Gemilang Komuniti Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan dan kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Insiden itu membawa kepada tindakan provokasi dan pelanggaran undang-undang apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak mengendahkan larangan pihak berkuasa daripada menganjurkan perhimpunan berkait Jalur Gemilang itu di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Khamis lalu.
Anthony juga berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengangkat sektor logistik tempatan yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.
“Tanpa sektor logistik, perdagangan tidak akan berlaku, ekonomi akan lumpuh. Tanpa logistik, eksport dan import negara tidak dapat dilaksanakan.
“Sektor logistik memainkan peranan cukup besar dalam ekonomi Malaysia dan juga kehidupan setiap orang. Tanpa sektor logistik, barang-barangan tidak akan sampai kepada pengguna.
“Itu sebabnya, pekerja-pekerja dan semua yang terlibat dalam sektor logistik ini memainkan peranan yang cukup penting setiap hari,” katanya.

Selain itu, Pelabuhan Klang mempunyai peranan dan tanggungjawab sangat besar untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang maju.
“Pelabuhan Klang merupakan antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia ini ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan pembangunan Pulau Carey sebagai pelabuhan ketiga negara akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Sekarang ini kita sedang merangka untuk memastikan pembangunan Pulau Carey ataupun pelabuhan ketiga akan dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat.
“Sudah tentu Pelabuhan Klang dan juga komuniti di Klang ini akan terus mempunyai limpahan ekonomi yang cukup besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















penjenayah hina bendera kau tak kecam dan report polis plak yer…malah ko back up lg