KLANG – Empat mangsa termasuk seorang warga emas terselamat selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai di Jalan Hulubalang 10, Taman Sentosa di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden itu pukul 5.43 pagi dan mendapati kebakaran berlaku di tingkat satu dalam bangunan tiga tingkat.
“Sepasukan 14 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Andalan dengan bantuan BBP Klang Utara dan BBP Klang Selatan tiba di tempat kejadian kira-kira 11 minit selepas menerima panggilan.
“Ketika kejadian, terdapat mangsa terperangkap di tingkat 3 akibat asap tebal telah menghalang laluan tangga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran berjaya dikawal pukul 6.16 pagi dan memusnahkan hampir 50 peratus ruangan berkeluasan 600 kaki persegi.
“Bagaimanapun kesemua mangsa termasuk seorang ibu dan dua anak perempuannya serta seorang warga emas berjaya diselamatkan dan dibawa turun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















