KUALA LUMPUR – Lagu Saya Anak Malaysia dendangan Dr Sam memang sinonim setiap kali kita menyambut ulang tahun kemerdekaan.

Lagu itu bukan sahaja menjadi siulan rakyat setiap kali tibanya bulan Ogos, malah turut dikenali generasi muda termasuk anak-anak kecil di era TikTok.

Bagi membangkitkan rasa itu semula satu majlis makan malam Saya Anak Malaysia Bersama Dr Sam akan dianjurkan pada 31 Ogos ini.

Persembahan ikon lagu patriotik dan seniman dakwah itu akan diadakan pukul 8 hingga 11 malam di Arina Skyview, Tingkat 20, Menara Arina Uniti di sini.

Majis makan malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular satu masa dahulu seperti, Iwan Syahman, Mel Wings dan Kodan Raja Lawak.

Penganjurnya, Ayob Abd Majid berkata, Dr Sam yang dianggap sebagai ikon negara telah menyatukan rakyat pelbagai bangsa melalui lagu Saya Anak Malaysia.

“Sumbangan besarnya bukan sekadar dalam bidang seni malah beliau juga aktif dalam dakwah, membawa ramai anak muda dan artis menyertai jemaah tabligh,” katanya dalam kenyataan.

Harga ditetapkan RM100 setiap orang termasuk makan malam disediakan dan menyasarkan hanya 150 tetamu eksklusif.

Sesiapa berminat boleh menempahnya dengan menghubungi Ayob di talian 014-8129 763 atau Mursyid di 011-1112 5750.

Ayob berkata, beliau terpanggil untuk tetap meneruskan mengadakan program itu setelah cadangannya kepada pihak tertentu untuk menganjurkan penghargaan kepada Dr Sam tidak mendapat sambutan.

“Namun saya tetap berusaha menjayakan acara ini demi mengenang jasa beliau dalam industri muzik dan dakwah,” katanya.

Baginya, majlis itu bukan sahaja meraikan jasa seni, malah menjadi simbol penghargaan kepada perjuangan seni yang menyatukan rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast