Mendiang Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menggambarkan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai tokoh yang luar biasa kerana pemahaman yang mendalam dalam undang-undang dan keupayaannya mengingati petikan kes.

Beliau berkata, mendiang yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan merupakan seorang yang tajam akal dan memegang prinsip yang tidak berbelah bahagi serta mengamalkan kebebasan tanpa diselubungi rasa takut.

Gopal Sri Ram

Menurut Ketua Hakim Negara, Sri Ram telah menulis kira-kira 800 penghakiman semasa menjadi hakim di antara 1994 dan 2010. Beliau meninggal dunia pada 29 Januari 2023.

“Mendiang Sri Ram merupakan seorang tokoh yang disegani dan namanya terpahat dalam kedudukan tertinggi perundangan negara.

“Mendiang cemerlang dalam bidangnya, berintegriti dan penuh berani manakala penghakiman yang ditulisnya mempunyai kelas tersendiri, komitmen yang tidak berbelah bahagi dan menetapkan standard yang menjadi inspirasi ramai.

“Tidak kira dalam soal Perlembagaan, pertikaian komersial atau kes kepentingan awam, sumbangan mendiang telah meninggalkan kesan yang terus abadi dalam perundangan Malaysia. Boleh dikatakan, mendiang seorang maverick.

“Menjadi satu penghormatan untuk saya berdiri di hadapan anda hari ini ketika pelancaran buku luar biasa yang meraikan keunggulan legasi kehakiman mendiang Sri Ram,” ujar beliau.

Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025

Ketua Hakim Negara memberi penghormatan terhadap mendiang yang juga bekas peguam kanan ketika berucap pada majlis pelancaran buku Quintessential Gopal Sri Ram di sini hari ini.

Turut hadir, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi serta hakim-hakim kanan.

Quintessential Gopal Sri Ram yang diterbitkan oleh Thomson Reuters mengandungi ulasan dan renungan oleh sarjana, peguam dan hakim mengenai penghakiman terpilih bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Dalam ucapannya, Wan Ahmad Farid turut mengagumi mendiang Sri Ram yang juga pernah bertindak sebagai Timbalan Kanan Pendakwa raya dalam kes-kes berprofil tinggi.

Mengimbau pertemuan peribadi dengan bekas hakim itu, Wan Ahmad Farid berkata, Sri Ram bukan sekadar hakim tetapi seorang rakan dan guru yang banyak meninggalkan kesan mendalam dalam kariernya.

Menurut Ketua Hakim Negara, beliau yang ketika itu seorang peguam, pernah bertemu dengan Sri Ram di Kuala Terengganu beberapa bulan sebelum mendiang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada September 1994.

“Anak guam saya menegaskan kami memerlukan pasukan yang bagus dan secara khusus beliau menyebut Sri Ram. Sudah tentu membawa maksud bahawa saya tidak cukup bagus,” katanya.

Ujar Wan Ahmad Farid, mendiang bersetuju bertemunya di Kuala Terengganu pada keesokannya dan dalam perbincangan itu, anak guamnya bertanya sama ada mendiang boleh menjamin kejayaan kesnya berdasarkan yuran guaman yang harus dibayar.

Sri Ram kemudian menjawab dengan tegas; “Saya bukan syarikat insurans dalam perniagaan untuk menjamin apa-apa (kejayaan)”.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Farid berkata, anak guamnya telah melantik Sri Ram dan berjaya mendapatkan injunksi interlokutori yang dimohonnya di Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gopal Sri Ram meninggal dunia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast