KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan kosmetik JC Beauty Culture Radiance Renewal Serum dan The Perfect Derma Cream kerana mengandungi hidrokuinon dan tretinoin serta miconazole.
Susulan daripada itu, notifikasi kosmetik-kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Kosmetik yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan miconazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh
digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Penggunaan kosmetik yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
Menurutnya, penggunaan hidrokuinon dan tretinoin boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi(depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Tretinoin Bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Miconazole Anti-fungal (Miconazole) yang diguna secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan.
“Penjual dan pengedar kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
MAnakala orang awam yang sedang menggunakan kosmetik-kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli
profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – MalaysiaGazette
















