Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR – Tarikh pendengaran semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak bagi memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi esok.

Berdasarkan semakan dalam laman web mahkamah, tarikh itu akan ditentukan pada sesi pengurusan kes di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.

Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya mengarahkan prosiding itu dipercepatkan dan mahukan supaya pendengarannya dimulakan dalam tempoh sebulan.

Semakan kehakiman itu telah `tergantung’ lebih setahun sejak ia difailkan pada 1 April 2024.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim mengembalikannya ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan, selepas menolak rayuan Peguam Negara yang mahu menghalang Najib daripada memulakan permohonan tersebut.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah turut mengarahkan pihak-pihak memfailkan penghujahan bertulis secara serentak.

Ini bermakna, pendengaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, dijangka dimulakan selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menunjukkan surat dari Istana Pahang mengesahkan Titah Adendum wujud, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 JANUARI 2025 (GAMBAR FAIL)

 

 

Mahkamah tertinggi negara yang bersidang ketika itu turut menolak permohonan lisan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah agar panel serupa terus mendengar semakan kehakiman Najib pada hari yang sama, tanpa perlu ke Mahkamah Tinggi.

Panel itu berpendirian, mereka hanya mempunyai kira-kira tiga bulan sebelum bersara dan memerlukan masa untuk membaca dokumen serta membincangkan perkara itu sebelum menyampaikan keputusan.

Muhammad Shafee beralasan, berdasarkan tiga nas undang-undang yang telah diputuskan sebelum ini, hakim-hakim berkenaan mempunyai bidang kuasa mendengar pemohonan semakan kehakiman, meskipun panel sama telah memutuskan rayuan Peguam Negara.

Hujah peguam, pertikaian berkaitan titah adendum harus diselesaikan segera kerana sebarang keputusan mahkamah memberi kesan kepada hukuman yang sedang dijalani oleh bekas Perdana Menteri.

Sabtu ini, genap tiga tahun Najib menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan semakan kehakiman dalam usaha mendapatkan perintah bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Dalam permohonannya, Najib, 72, mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu supaya kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Jika perintah bertarikh 29 Januari 2024 itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Susulan itu, beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta yang menjangkakan Najib dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast