JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum masuk longkang di Plaza Tol Perling di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan itu pukul 5.10 petang.
“Insiden melibatkan motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang dipercayai berlaku apabila mangsa iaitu lelaki berusia 54 tahun itu hilang kawalan sebaik tiba di lokasi.
“Akibatnya, mangsa telah terbabas hingga terjatuh ke dalam longkang di sebelah kanan jalan berhampiran plaza tol berkenaan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman badan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan 1, Azmi Johar dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 5.20 petang.
Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua jentera Unit Bermotor Bomba (RIM) bersama-sama 15 anggota dihantar ke lokasi sejauh 10 kilometer (KM).
“Sebaik tiba ke lokasi pada pukul 5.47 petang didapati kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal yang terbabas ke dalam longkang sedalam tiga meter.
“Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa menggunakan tali, namun mangsa mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya.
Mangsa katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 6.18 petang.- MalaysiaGazette
















