Mohd Izani Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kesiapsiagaan sistem pertahanan negara disifatkan sebagai satu peringatan yang amat penting dan wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak, khususnya Kementerian Pertahanan (Mindef).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, titah Agong itu bukan sahaja berlandaskan kedudukan baginda sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebaliknya, ia adalah daripada keprihatinan dan kecaknaan baginda terhadap isu keselamatan negara.

“Sebenarnya apa yang disampaikan oleh Agong itu menunjukkan keprihatinan baginda terhadap kesiapsiagaan sistem pertahanan dan keselamatan negara, terutamanya berkaitan aset pertahanan itu sendiri.

“Pandangan baginda perlu diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya oleh Kementerian Pertahanan. Saya yakin kementerian juga sudah tentu mempunyai perancangan tertentu susulan daripada titah tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Tambah beliau, apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah untuk memperkasakan kesiapsiagaan aset-aset pertahanan serta menekankan aspek tadbir urus dan integriti dalam perkhidmatan awam.

“Kita tidak nafikan bahawa Seri Paduka Baginda mempunyai latar belakang ketenteraan dan minat yang mendalam terhadap bidang ini.

“Maka titah itu datang daripada pengalaman, kepakaran dan kecaknaan baginda sendiri terhadap sistem pertahanan negara,” ujarnya yang juga merupakan seorang penganalisis.

Menurut Izani, walaupun Malaysia tidak berada dalam kancah peperangan, kesiapsiagaan pertahanan tidak boleh dipandang ringan kerana ia juga melibatkan keselamatan anggota yang mengendalikan aset-aset berkenaan.

“Aset-aset ini perlu dipastikan berada dalam tahap terbaik. Titah Agong itu perlu diberi perhatian yang serius dan tindakan segera wajar diambil,” ujarnya.

Mengulas mengenai pendedahan baginda berhubung campur tangan orang tengah termasuk bekas pegawai tentera yang bertindak sebagai ‘broker’, Izani berpandangan, teguran itu menyentuh aspek proses dan tadbir urus yang perlu diberi penambahbaikan.

“Saya fikir itu boleh dijadikan panduan dan pedoman kerana soal pembelian aset pertahanan ini membabitkan kos yang tinggi. Maka perlu ada tatakelola yang baik untuk pastikan proses pembelian dijalankan dengan telus dan tidak timbul isu integriti,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast